Teringat aku untuk menulis hari ini adalah semalam sebelum balik, secara rawak aku berjumpa pemain sebab nak tengok medal. Terus teringat medal yang kami pernah dapat dulu. Aku pesan, seminggu atau dua minggu sekali nanti lap lah, supaya tak dimakan usia atau berkarat (oxidize).
Budak-budak ni macam kami dulu; bermula dari kosong. Berbeza dengan kemudahan dan fasiliti, kami lebih teruk. Coach pernah guna buah kelapa ganti bola ragbi sebab kami passing bola tak elok. Maksudnya selagi kami passing tak elok, kami kena guna buah kelapa tua tu. Itu belum kira fumble, macam-macam denda yang kami kena. Berapa ramai kawan-kawan kami muntah hijau dalam padang waktu tu. Kami dianggap "3 Years Project Team" di mana kami bermula ketika Tingkatan 3. Dan aku, di dalam pasukan aku bermula sebagai waterboy saja. Kalau dalam Jonah Jones 7, aku akan ditugaskan sebagai ball picker. Geram tak dapat main, tapi bila fikir balik aku bukan runner dan winger, kawan-kawan yang masuk Team A dan Team B pun lunyai juga dalam Jonah Jones tu. Ingat lagi waktu tu kami kena jumpa SEMSIRA yang kami pun tertanya-tanya, ni semua budak sekolah ka atau orang tua yang main? Hahaha.
Tingkatan 4, bermula la penjelajahan perlawanan persahabatan dengan sekolah-sekolah lain. Yang tak tahan, coach set dengan sekolah-sekolah yang dah kuat waktu tu seperti Sultan Ismail College dan Clifford kalau tak silap. Kami lunyai semua game persahabatan dengan sekolah-sekolah tersebut. Target coach pada kami sebenarnya bukan di peringkat antara negeri, tetapi sebenarnya adalah di dalam negeri. Bila difikirkan balik, teknik coach tak sama dengan taktikal yang digunakan dalam era sekarang. Kami ditekankan dengan basic handling dan peraturan; tak boleh silap. Kami juga ditekankan dengan teamwork; seorang silap, semua kena. Tak ada star player dalam team. Hujung Tingkatan 4 dan awal tingkatan lima, MRSM Balik Pulau adalah antara sekolah 'sparring' kami yang kami lunyaikan. Waktu tu di dalam pulau, antara yang kuat adalah Teknik Tunku Abdul Rahman (TARP). Aku dimasukkan ke dalam first 15 ketika hujung Tingkatan 4 sebagai prop; jersi No. 3.
Tahun 2000, semuanya menjadi sejarah. Kami angkat gelaran sebagai johan negeri dan sapu bersih semua point kejohanan. Mata bolos kami cuma yang kami terima di Final melawan Tun Syed Syeikh Shahabudin. Waktu tu, tak macam sekarang yang penuh ibu bapa tepi padang. Yang hadir cuma ibu-bapa yang duduk dekat dengan padang kejohanan. 3 tahun seksaan kami berbaloi dengan memecahkan dominasi Stingers selaku johan negeri 5 tahun berturut-turut waktu itu. Habis sekolah, setengah dari pasukan meneruskan dengan kelab All Blues dan terpilih mewakili Pulau Pinang untuk SUKMA, Piala Presiden dan Piala Agong. Aku pula mengucapkan selamat tinggal selamanya pada dunia ragbi selepas mengalami kecederaan lutut ketika kempen pemilihan SUKMA waktu tu.
25 tahun kemudian, pasukan yang aku sokong; BP Cougars pada tahun 2024 kerana pertama kali dimasukkan ke MSS. Kemudian kebetulannya anak diterima masuk belajar pada 2025, menjadi Juara MSS. 25 tahun punya cerita terpampang bagai projektor sepanjang perjalanan balik dari Putrajaya ke Pulau Pinang.
27 Julai 2025 akan terpahat selamanya dalam memori semua pemain, pengurusan dan penyokong yang terlibat dengan BP Cougars skuad 2025. Kejayaan paling besar adalah memecah monopoli penguasaan SBP di dalam kejohanan ragbi peringkat sekolah yang paling berprestij; Malaysia Super School Rugby Fifteen.
Tahniah BP Cougars, selayaknya anda semua patut bergembira dengan kejayaan ini! Cerita ini boleh diulang tayang sehingga ke anak cucu!