Tuesday, March 11, 2008

Khairy punca BN tewas mengejut?

Artikel ni aku CUT AND PASTE jer dari email aku.... Malam 8 Hb Mac tu, berpuluh2 sms masuk handset aku tanya mcm mana Penang jatuh ke tangan DAP. Muekekekek, macam wakil rakyat pulak aku nih..... Korang bolehlah calonkan aku jadik calon BEBAS next election nanti yerk.

Mar 9, 08 10:12pm

Najib menang dengan 26,000 undi dan jumlah ini lebih banyak daripada 2004 ketika BN sangat, sangat popular. Sebaliknya, Pak Lah - yang mempunyai majoriti 18,000 undi sebelumnya - kini hanya berjaya mendapat 11,000. Kenyataannya, dia telah hilang banyak undi. Dan tidak banyak pemimpin yang berjaya meningkatkan majoriti sejak 2004.

Transkrip sidang media Tun Dr Mahathir Mohamad pagi tadi:

Adakah Tun terperanjat dengan keputusan (pilihanraya semalam)?

Mahathir: Saya rasa ia memang menggemparkan. Walaupun saya menjangkakan BN akan kalah tetapi saya tidak fikir mereka boleh tumbang di lima negeri.

Saya minta maaf, saya salah pilih Pak Lah. Saya tidak sangka seseorang Perdana Menteri boleh menukar semua dasar sebuah kerajaan. Jadi saya fikir masyarakat seluruhnya mesti rasa sangat-sangat marah. Ketiga-tiga kaum, Cina, Melayu dan India semuanya memberi reaksi.

Apakah Tun akan menekan Pak Lah agar meletakkan jawatan?

Saya rasa dia patut memikul tanggungjawab (atas kekalahan) ini. Macam tahun 2004, ketika mendapat majoriti besar, kemenangan itu digambarkan kerana dirinya 100 peratus. Sekarang dia harus terima 100 peratus tanggungjawab itu.

Apa maksud Tun mengambil tanggungjawab?

Dia telah memusnahkan Umno, merosakkan BN. Dan dia harus bertanggungjawab atas kekalahan teruk ini.

Jika dia enggan mengambil tanggungjawab, apakah anda fikir Umno akan memastikan dia melepaskan jawatan?

Saya fikir orang Umno di peringkat akar umbi sangat takut pada lelaki ini. Ketika saya (memimpin) dulu, mereka boleh mencabar saya. Tapi kali ini saya sendiri tidak dibenarkan bercakap. Saya diundang berucap di depan ahli-ahli Umno tetapi semuanya terpaksa dibatalkan. Mereka kata, polis meminta mereka membatalkannya.

Apabila anda kata (dia harus) 'meletakkan jawatan', apakah anda maksudkan (presiden) Umno atau Perdana Menteri?

Saya fikir dia patut (letak jawatan). Kalau orang Jepun, dia sudah lakukan 'hara-kiri'. Saya fikir pencapaian Najib (Razak) bagus. Dia telah menang dengan menakjubkan, lebih baik berbanding 2004.

Apakah yang anda fikir penyebab kekalahan ini?


Saya fikir menantunya (Khairy Jamaluddin) ada peranan besar.

Anak muda ini yang tidak pernah mencapai apa-apa sebelumnya tetapi jelas Perdana Menteri lebih bersedia mendengar daripadanya berbanding polis, anggota Cawangan Khas dan angkatan tentera, yang lebih dekat dengan masyarakat akar umbi.

Mereka terlalu percaya pada laporan akhbar mereka sendiri sehingga mereka tidak dapat mendengar (sumber-sumber) yang lain. Mereka membuang apa sahaja yang mereka tidak gemar.

Apakah anda fikir masa untuk mengadakan pilihanraya ini tidak sesuai, salah perhitungan?

Ia bolehlah disebut salah perhitungan tetapi saya ragu-ragu jika mereka menangguhkan tahun depan, keputusannya akan berlainan.

Apakah isu-isu yang mendorong tumbangnya negeri-negeri itu?

Banyak isu yang menyebabkan perasaan orang ramai, walaupun ada pertumbuhan ekonomi, mereka tidak rasa apa-apa (nikmat).

Mereka rasa kenaikan kos sara hidup satu faktor besar. Mereka juga nampak bahawa kerajaan kini ditadbir oleh satu keluarga sahaja. Apabila keutamaan keluarga melebihi kabinet, kerajaan, maka orang akan menentangnya.

Apakah anda fikir kerosakan ini akan kekal bersama BN?

Semuanya boleh diubah jika anda buat sesuatu dengan baik. Mereka menjadi begitu bongkak sehingga mereka menutup semua pandangan lain yang mereka tidak suka dan percaya pada laporan mereka sendiri yang tidak sejajar dengan apa yang sebenarnya terjadi dalam negara.

Dengan kejayaan pembangkang menembusi banyak lagi negeri-negeri, apakah yang akan terjadi?

Akan wujud ketidakstabilan untuk seketika. Jika pembangkang pandai, mereka boleh memperbaiki keadaan itu.

Apakah anda fikir Anwar Ibrahim masih lagi relevan?

Saya fikir dia masih lagi relevan tetapi dia tidak akan menjadi perdana menteri di negara ini.

Jika anda berada di tempat Pak Lah, apakah anda akan tergesa-gesa untuk menubuhkan kerajaan?

Saya akan mengambil tanggungjawab. Jika orang minta saya meletakkan jawatan, saya akan letak.

Selepas ketewasan teruk ini, apakah anda fikir BN masih mampu memperbaiki keadaan ini?

Masih ada harapan. Tetapi sama ada pemimpin-pemimpin bertekad untuk memperbaiki BN adalah persoalan lain.

Siapakah yang patut menggantikan Pak Lah?

Najib menang dengan 26,000 undi dan jumlah ini lebih banyak daripada 2004 ketika BN sangat, sangat popular. Sebaliknya, Pak Lah - yang mempunyai majoriti 18,000 undi sebelumnya - kini hanya berjaya mendapat 11,000.

Kenyataannya, dia telah hilang banyak undi. Dan tidak banyak pemimpin yang berjaya meningkatkan majoriti sejak 2004.

Benar, menantunya menang (di Rembau) tetapi dia hanya menang dengan majoriti kecil, lebih rendah daripada sebelumnya. Dia juga bertanding di kerusi yang selamat.

Bagaimana memperbaiki Umno?

Orang yang bertanggungjawab harus undur.

Jika orang Melayu tidak mengundi pembangkang, kekalahan teruk ini tidak akan terjadi. Kenapa boleh wujud gejala penyokong Umno memilih pembangkang kali ini?

Mereka fikir mereka kini dalam tekanan. Inflasi meningkat. Kehidupan mereka ala kadar. Semua tahu bahawa anda boleh cakap (bahawa) pertumbuhan (ekonomi) kini 6 peratus tetapi di mana 6 peratus ini di badan mereka? Mereka terpaksa membayar lagi.

Saya telah cakapkan perkara ini kepada Malaysiakini. Apabila anda berkata 6 peratus, ia hanya ukuran purata. Ia boleh dicapai apabila seseorang memiliki peratusan yang tinggi tetapi orang lain tidak mendapat apa-apa. Anda tidak boleh menunjukkan perangkaan jenis ini dan kemudian berharap orang ramai akan mengundi anda.

Seseorang yang cerdik akan tahu bahawa ia (statistik) tidak betul. Mereka yang tidak faham semua perangkaan ini, akan berpandukan apa yang sebenarnya dialami mereka. Apa yang mereka hadapi ialah kos sara hidup yang semakin tinggi dan tingkat kehidupan mereka makin rendah.

Jika kita tengok (sejarah) pilihanraya umum 1969, selepas Perikatan (kini BN) tewas, anda termasuk dalam golongan yang mendesak Perdana Menter (Tunku Abdul Rahman) melepaskan jawatannya kepada timbalannya (Tun Abdul Razak Hussein) ...

Saya dalam keadaan dilema kerana saya masih lagi ahli Umno.

Apakah anda akan menjadi pendesak lagi?

Saya akan terus bercakap. Jika orang tanya, saya akan berikan pendapat saya. Dan pandangan saya dalam perkara ini ialah orang yang bertanggungjawab harus berundur.

Melihat barisan pemimpin BN sekarang, apakah anda fikir kerajaan BN boleh mengurus ekonomi?

Tidak, saya tidak fikir mereka boleh mengurusnya. Walaupun mereka mempunyai ramai orang dan banyak wang, mereka tidak dapat berbuat apa-apa.

Kenapa?

Anda kena tanya pemimpin-pemimpin di negeri.

Pulau Pinang telah jatuh ke tangan DAP, bagaimanakah keadaan ini memberi kesan kepada Melayu?

Ia bukan hanya di Pulau Pinang. Jika kita hendak membaikinya, kita mesti mempunyai pemimpin-pemimpin Melayu, kita memang ada kerajaan Melayu dan warga Melayu mestilah tahu bagaimana mengatasi masalah mereka.

Apakah yang pemimpin veteran seperti Tengku Razaleigh (Hamzah) boleh buat untuk membantu Umno, setakat kini?

Mereka boleh memberi idea.

Apakah ia untuk melawan dan memaksa Pak Lah meletakkan jawatan?

Saya tidak bercakap soal pemberontakan tetapi (kita) mesti beri tekanan. Dan jika tekanan itu diabaikan oleh Pak Lah, maka ia akan menjadikan perkara ini suatu ketegangan.

Apakah anda fikir kemenangan besar itu akibat dorongan Anwar?

Saya tidak fikir kerana dia. Saya fikir keinginan (mereka) menentang BN lebih kuat daripada (mereka) menyokong pembangkang.

Mereka (pengundi) tiada pilihan. Jika adan tidak memilih BN, siapa lagi yang anda pilih? Hanya ada dua calon. Jadi anda memangkah calon pembangkang atau anda langsung tidak membuang undi. Kedua-duanya menyebabkan BN hilang banyak sokongan.

Orang kata Umno masih takutkan Pak Lah. Jadi bagaimana mereka boleh menekan Pak Lah agar berundur?

Saya yakin akan ada beberapa anggota yang berani di luar sana.

Apakah ada pilihan lain bagi Pak Lah selain melepaskan jawatan?

Saya tidak fikir ada pilihan lain. Seseorang yang bertanggungjawab 100 peratus harus menunjukkan bahawa dia sedia bertanggungjawab.

Ada orang kata jika majoriti dua pertiga BN dinafikan, peristiwa 13 Mei akan berulang. Kenapa ia tidak terjadi sekarang?

Tidak, saya tidak fikir ia akan berulang. Polis juga sangat berhati-hati, melarang orang berdemonstrasi dan jangan berarak.

Pada 1969, polis memberi keizinan kepada pembangkang menganjurkan perarakan kemenangan. Dan mereka bergerak ke Kampung Baru dan mula menghina orang-orang di situ, yang tentunya akan dibalas. Ia berakhir dengan rusuhan.

Jika polis terus bertegas dengan demonstrasi dan perarakan, saya tidak fikir akan wujud apa-apa masalah.

Apakah ini waktunya menghapuskan politik perkauman?

Saya katakan, ini (penolakan pada BN) melibatkan semua kaum. Bukan Cina sahaja tolak BN atau semua India tolak BN. Dalam kes ini, anda lihat Cina, India dan Melayu menolak BN kecuali di Sabah dan Sarawak.

Umno masih mengekalkan banyak kerusi berbanding parti-parti komponen seperti MIC dan MCA. Apakah mereka sanggup mendesak Pak Lah meletakkan jawatan?

Itu terpulang pada mereka sama ada mahu menekan atau tidak tetapi konsep BN masih relevan. Jika tidak ada (presiden MIC) Samy Vellu, maka cari seorang lagi Vellu.

Boleh ulas tentang Zam (Zainuddin Maidin)?

Dia menang atau kalah? [ada orang jawab "kalah"] Oh, dia kalah. Cara dia berkempen sangat kelakar, memberitahu orang supaya tengok muka dia dan menunjukkan pada mereka bagaimana ia (muka Zam) tidak pernah berubah-ubah. Tetapi saya fikir, muka yang tidak berubah-ubah akan menyebabkan orang jemu. Kadang-kadang anda mesti ketawa, kadang-kadang anda kena menangis.

Dia beritahu semua orang "Ini muka tak bertukar, tak bertukar" [Zainuddin berkempen dengan menyindir politik Anwar yang sering berubah-ubah]. Siapa yang berminat tengok muka diah? Jika dia Britney Spears, lainlah ...

Jika anda mengalami ketewasan yang sama, apakah anda juga letak jawatan?

Ya, saya akan undur jika itulah kehendak orang ramai. Saya selalu tunduk pada hasrat orang ramai, sehinggakan ramai yang pernah menentang saya dimasukkan semula sebagai anggota kabinet, dan mereka itu termasuklah Pak Lah, Syed Hamid (Syed Albar), Rais Yatim dan (Abdul) Kadir Sheikh Fadzil. Ini semua (pemimpin) pernah menentang saya.

Tetapi apabila Pak Lah dipilih sebagai naib presiden, saya tidak boleh (melantiknya) seperti yang dikehendaki Umno. Jadi, saya lantiknya kembali dalam kabinet.

Tetapi anda tidak meletakkan jawatan pada 1999?

Saya tidak letak jawatan sebab kita menang dua pertiga. Kita menang dengan sokongan penuh Cina. Ya, kita tewas di Terengganu dan Kelantan tetapi kita selalu kalah di Kelantan, dan (kita tewas) Terengganu kerana sebab-sebab khusus.

Apakah BN tewas kerana ramai pemimpin seperti Samy Vellu yang bergayut pada kuasa terlalu lama?

Saya fikir Samy Vellu turut menjadi penyebab utama ketewasan itu. Ketika dia dalam BN, dia tidak benarkan orang MIC sampai ke peringkat setinggi dia. Jika mereka menang sebagai timbalan atau naib presiden, mereka akan disingkirkan dan malah dibuang dari parti.

Dan dia tidak benarkan parti-parti lain kaum India menyertai BN. (MG) Pandithan cuba sertai, merayu pada saya untuk membenarkannya dan saya bersetuju tetapi kita dalam BN ada kata sepakat bahawa jika ada satu parti tidak bersetuju, kita tidak boleh menerimanya.

Apakah anda terkejut dengan kemenangan (tahanan ISA) M Manoharan?

Ia pernah berlaku pada 1959 atau apakah itu tahun 1964, apabila PAS masuk ke kampung-kampung dengan membawa kasut calon dan dia boleh menang.

Apakah pandangan anda tentang peranan media, khususnya media arus perdana, dalam kempen (BN) ini? Apakah anda fikir ia patut diubah?

Memang patut diubah. Mereka patut melaporkan apa yang sebenarnya berlaku dan melakukan analisis yang betul. Dulu, media berupaya memberikan maklum balas kepada saya tentang apa yang berlaku di bawah. Mungkin apabila mereka bercakap tentang isu kaum dan seumpamanya, saya akan menutup (media), seperti saya buat pada 1987.

Patutkah semua ketua atasan akhbar-akhbar ini meletakkan jawatan?

Mereka sendiri ada batasannya. Sebahagiannya kawan saya dan penyokong saya juga dan mereka memohon maaf kerana tidak mampu membantu. "Ini semua angkara Kali. Kali ini," cerita mereka pada saya.

Apakah Umno makin tidak relevan?

Untuk masa ini, ya. Ia tidak selalunya begitu. Jika Umno memberikan khidmatnya pada negara, dan menjaga semua kaum, maka Umno akan menjadi relevan semula.

Apakah ulasan Tun tentang calon-calon muda BN yang tewas?

Memang ada khabar-khabar angin bahawa sebahagian calon-calon ini (orang) Khairy dan bahawa dia mahu menjadi perdana menteri.

Apakah anda fikir pemimpin-pemimpin komponen BN yang lain patut meletakkan jawatan?

Saya rasa sudah ada seorang pemimpin yang tewas. Untuk kes (presiden MCA) Ong Ka Ting, terpulang kepadanya. Keputusan itu terlalu teruk padanya dan MCA dan ia tidak pernah seburuk ini.

Semua orang kata PAS dan DAP tidak boleh bekerjasama tetapi jika mereka gagal bekerjasama di Selangor dan Perak, mereka tidak boleh membentuk kerajaan negeri. Apakah komen anda?

Jika mereka kerja bersama, mereka boleh membentuk kerajaan negeri. Jika tidak, maka wakil-wakil Umno - jika mereka cukup - boleh membentuk kerajaan minoriti. Tetapi ia akan menjadi kerajaan yang goyang.

Apakah anda sedih melihat keputusan itu?

Ya, walaupun saya sangat berharap satu mesej telah disampaikan kepada kerajaan.

Apakah anda berminat aktif kembali dalam politik?

Saya tidak akan kembali bergiat dalam politik tetapi jika mereka meminta nasihat, saya boleh beri. Bagaimana saya hendak kembali kerana apabila saya melepaskan jawatan, mereka layan saya seperti seorang pariah.

No comments:

Post a Comment

Konda Kondi Cafe & Bistro

Plan harini nak singgah ke Laksa Pondok Ibu Kathy . Tempat nampak macam menarik tepi sungai, tetapi menu kat sini sesuai untuk m...