Saturday, August 22, 2026

Anugerah



Semalam 21 Ogos 2026 Muhammad Qayyum hadir ke HAKA (Hari Anugerah Kecemerlangan Akademik) MRSM Balik Pulau. HAKA untuk MRSM ni buat untuk pelajar yang dapat PNG 3.5 ke atas. Ini kali ketiga Muhammad Qayyum dapat sejak Tingkatan 1. Untuk rekod, sebelum ni cuma ibu bapa pelajar yang dapat 4.0 saja dijemput hadir untuk majlis makan malam. Tahun ni, pihak pengurusan maktab membuka peluang pada semua ibu bapa pelajar yang mendapat 3.5 ke atas hadir bersama dengan bayaran untuk makan malam.

Meraikan peluang yang diberikan pihak maktab, aku dan isteri turut hadir. Bukan senang ya nak dapat peluang ni. Semua keputusan ini adalah atas budi bicara pihak maktab. Terima kasih MRSM Balik Pulau.

Dalam banyak-banyak perbualan Muhammad Qayyum dengan ibunya, aku paling terkesan apabila dia kata dia kena buat 2-3 kali ganda lebih daripada kawan-kawan dia yang lain untuk dapat keputusan macam tu. Aku faham maksudnya itu. Dalam erti kata mudah adalah seperti zaman kita belajar dulu; kita belajar macam nak mati, tapi kawan kita yang main game/tidur punya result lebih gempak dari kita. Itulah keadaan lebih kurang di MRSM; anak kita akan dikelilingi oleh ramai anak-anak bijak pandai dan persaingan sangatlah tinggi.




Generasi anak aku mungkin tak dapat bayangkan apa yang generasi kita (Gen-X dan Gen Millennials terawal) hadap. Sekarang ni jika aku buka cerita, biasanya anak aku akan anggap aku tengah buat cerita (aku kan suka menyakat anak). Takpa, aku tulis untuk dia baca kalau aku dah takda nanti.

Aku masuk ke PFS dengan merit UPSR. Syukur alhamdulillah juga, aku menerima Biasiswa Kecil Persekutuan yang kalau diimbas kembali, agak kelakar juga nilai dia. Tak silap aku RM120 setahun (aku tak ingat). Sekarang ni kalau tak silap aku dah dikemaskini menjadi RM70 sebulan, lebih realistik.

Sebagai pelajar aliran khas, aku berada dalam pool Anugerah Rancangan Khas yang diberikan pada Tingkatan 1, 2 dan 3. Alhamdulillah juga aku dapat kekalkan di semua tingkatan tersebut. Persaingan untuk aliran ni pada aku sangatlah tinggi. Aku bukanlah ulat buku dan aku juga bukannya baik dalam hafalan. Jadi aku kena bekerja lain dari biasa, maksudnya tak sama dengan kawan-kawan aku yang lain. Disebabkan ini juga aku menjadi perengus dan tak layak jadi cikgu. Turun ke anak, kalau ditanya suruh aku ajar memang siaplah hangpa.

Keputusan PMR keluar dan aku menjadi satu-satunya pelajar asrama PFS pada tahun 1998 yang dapat 8A. Semua kawan-kawan aliran khas yang lain dapat 7A1B dan majoriti berpindah ke MRSM dan SBP.

Aku? Kekal di PFS tanpa sedikitpun aku berminat nak minta ke sekolah lain. Aku masih ingat macam mana Ustaz Suhaimi pujuk aku ke SBP/MRSM dan aku taknak. Ustaz Suhaimi juga adalah orang yang bertanggungjawab beri aku borang pengawas asrama untuk diisi. Sebab tu dalam gambar aku berseluar putih. Kami adalah batch pengawas asrama PFS yang membezakan dengan School Prefect cumalah badge jawatan. Terima kasih pada Allahyarham Cikgu Ismail (Pengetua) yang mengangkat taraf pengawas asrama pada waktu tersebut walaupun mendapat tentangan Old Frees. Terima kasih Ustaz Suhaimi, semoga Allah memberkati Ustaz dunia dan akhirat.

Berbalik pada gambar aku, sepatutnya aku terima dari TYT Pulau Pinang, Allahyarham Tun Hamdan Sheikh Tahir tapi rasanya waktu giliran aku Tun dah tak larat nak berdiri dan diganti dengan wakil dari Old Frees Association. Gambar ambil hadiah galakan khas ini juga sebab aku minta jasa baik Sir GS Yap untuk ambil sebagai kenangan. Kalau tak memang takda bukti aku nak gebang dengan anak aku.

Jauh lagi perjalanan anak aku ni. Semoga kejayaan sentiasa di jalan hidupmu sebagai semangat untuk adik-adikmu. 

Dan sementara itu hadapla apabenda lagi abah nak ranjau nanti. Hahahaha!



No comments:

Post a Comment

Anugerah

Semalam 21 Ogos 2026 Muhammad Qayyum hadir ke HAKA (Hari Anugerah Kecemerlangan Akademik) MRSM Balik Pulau. HAKA untuk MRSM ni buat untuk pe...