Showing posts with label Konsert. Show all posts
Showing posts with label Konsert. Show all posts

Sunday, November 26, 2023

Wings - Konsert Mega Marhaen

*Maaf, selepas setahun baru aku release post ni. Salah satu sebabnya sebab video recording aku hancur sebab tak boleh nak fokus pada malam konsert. Lagipun rasanya aku tulis ni takda siapa nak baca pun. Di bawah adalah draft post aku yang aku release pada hari ini. Lebih kepada nukilan peribadi untuk dikenang. (Bootleg ada di bawah sekali dalam entry ni).



----------

Pada 29 Oktober 2022, akhirnya Wings telah membuat Konsert Mega Marhaen bertempat di Midtown Perda, Pulau Pinang. Aku, tanpa ragu-ragu dan setelah menghubungi Zul (S2W), terus beli tiket untuk secure tempat dan jadual hidup aku sendiri.


Mungkin post ni akan menjadi sedikit panjang, disebabkan dah lama betul aku tak tengok konsert; di mana konsert last adalah Megadeth Live in Kuala Lumpur. Dan memandangkan ini adalah konsert berbayar yang aku korek tabung sendiri dan bukan tiket cemey atau sponsor, tulisan aku mungkin akan sedikit bebas nak suarakan apa pun. Jadi kalau rasa tak boleh baca kritikan, ini adalah peluang akhir untuk langkau tulisan aku dan boleh sambung layan YouTube Alip Sukri.

Layout ni aku minta dari organiser yang aku WhatsApp sendiri semasa nak beli tiket. Memang ragu-ragu betul waktu nak beli tu sebab first impressions aku; organiser tak tahu benda apa diaorang tengah jual. Layout 3D ni memberikan banyak sungguh tanda tanya pada aku dengan lokasi pembeli tiket.

Lepas tu aku korek-korek cari, jumpa la layout ni dekat FB. Tiada di mana-mana kot rasanya di page S2W atau page organiser yang tak sampai 30 orang like! Lepas aku reconfirm dengan Zul, aku putuskan untuk ambil tiket normal zone. Dan aku beli melalui Zul S2W sendiri sebab rasa tak secure betul nak beli online dengan organizer. Ya maaf, bab ni aku memang teliti sikit. Rasanya organiser buat page pada 22 September 2022, jadi time bila nak promo betul-betul. Nak sedap lagi kena buat paid ads untuk reach audience. Tapi aku bersangka baik, mungkin diaorang collab dengan page besar lain macam Penang Press atau Penang Kini untuk promo post.

Kesimpulan aku, organizer tak cukup rock dalam nak boost promo di Kubang Menerong ni. Rasa aura Search Di Awan Biru, Double Trouble dan Konsert Sinar Rock Retro di Seberang Jaya 10 tahun lepas lebih meninggalkan impak. Ya, lokasi di Kubang Menerong, memang hulu betul di Penang walaupun sebelah taman rumah aku ja ni. Jalan kaki guling-guling pun sampai.


Sampai di booth tiket, aku agak lost tapi masih ok. Cuma aku agak terkejut kerana booth Sayap-Sayap Wings tiada banner khas yang menandakan itu adalah booth Sayap-Sayap Wings! Berbeza dengan keadaan ketika Double Trouble Seberang Jaya dan Konsert Sinar, memang boleh tahu itu booth Sayap-Sayap Wings. (Setup terbaik aku lihat adalah ketika Wings Rockestra di Istana Budaya, KL). Tapi aku tetap bersangka baik, keadaan lokasi yang agak remote membuatkan hal logistik menjadi agak susah.

Frust malam ni adalah aku tak dapat cari t-shirt event dan poster official!

Lebih kurang lepas Maghrib, hujan turun dengan lebat sekali. Ah sudah..... Aku tak bawak baju hujan pun. Habisla...

Jumpa Mie ex-CEO Himpunan Baju Keras dekat sini. Sempat la menyembang dulu dengan dia sementara tunggu hujan seriat. Sebenarnya time ni aku dah masuk ke tapak konsert, tapi keluar balik sebab hujan lebat sangat.

Aku tunggu Ikhwan sampai sebab aku minta tolong dia bawak plastik untuk aku simpan handphone kalau hujan lebat sangat. Elok dia sampai lepas Isyak, sempat la kami sembang sat. Ada mamat ni sebelah kami dok buat muka sekupang, rupanya tak beli tiket pun. Ikhwan bermurah hati sedekah tiket extra yang dia ada. Rezeki hang la Mat!

Masuk ke tempat konsert. Memang aku secure terus tempat depan khemah geng sound engineer konsert duduk. Aku takmau dah duduk tepi lepas tu dengar sound mono. Hahahah.


Hujan on off dan aku pasrah dan redha ajalah apa nak jadi.


Nak dijadikan cerita, spot aku duduk tu bertemu pulak dengan senior sekolah aku dulu, Gabai. Dia adalah keeper hoki negeri dan antara yang the best dalam Liga Hoki Kebangsaan dulu. Aku Form 1 dan dia Form 5. Alhamdulillah sampai harini kadang-kadang bertanya khabar di FB.

Ah kalau perasan, GoPro aku tu jadi perhiasan saja malam tu. Disebabkan hujan, cap aku basah dan lembik, menyebabkan mounting menghala ke atas dan semua footage video aku tunjuk langit! Terasa penat 3 kali tukar battery kelam kabut dalam hujan tetapi hasil hancur.


Ok, ni adalah view tempat aku duduk. Gambar atas tu adalah ruang VIP yang aku panggil tempat rockers sakit lutut duduk. Hahaha

Gambar kedua menunjukkan tempat aku duduk dan pagar belakang adalah tempat untuk tiket marhaen yang paling murah . Teknikalnya tempat aku dan marhaen zone tak banyak beza pun kalau dekat dengan khemah Sound Engineer, bezanya aku boleh duduk betul-betul di tengah saja.


Gambar setlist di atas dikongsi Zul selepas konsert (Tq Zul!). Ok sekarang kita masuk bab konsert.

Konsert dimulakan sedikit lewat disebabkan hujan lebat tapi masih ok, tak lambat sangat. Dan mana ada konsert rock yang start ikut jadual? Rock skema bolehla punctual.

Dua lagu awal bermula dan aku tak dapat dengar dengan elok sebab sound agak distort atau level gain terlalu tinggi. Nampak Awie lari ke belakang dan bagi isyarat pada crew akan masalah yang dihadapi. Ha betul, settle lagu dan waktu ucapan, dia cakap monitor dia tak dengar (kiranya 2 lagu awal dah jadi soundcheck). Penonton lambat masuk gear 2 lagu ni sebab tak hafal lirik (termasuk aku!). Hahahaha!

Selepas Misteri Mimpi Syakilla, barulah penonton start sing along. Orang Penang ni memang terkenal pemalu nak sing along sebenarnya. Nak jadi cerita pulak, takda kedai nasi kandar keliling tapak konsert ni, jadi memang semua takda tenaga sangat, jadi kena simpan sikit untuk buah last. Hahahaha.

Aku rasa aku tak perlu nak cerita satu-satu list lagu kerana memang semua power! Yang nak aku highlight adalah apabila Wings memilih untuk cover He's A Woman She's A Man (Scorpions) dan Ares' Lament (Loudness). Ni memang sing along fail la kan. Tapi pada aku, ni memang mengejutkan dan syukur aku sempat rakam!

Cuma terus terang cakap, dengan sedikit pembaharuan guitar works Sham dan Edrie, aku sedikit frust apabila melodi asal album sedikit berubah. Aku tak peduli skil guitar tu power macam mana pun, aku nak dengar sound macam dalam album. Tu ja. Kalau nak tambah goreng panjang, silakan takda hal, tapi jangan ubah!

Bass Eddie takyah cakap, memang sedap dan drum Black memang padu sampai bergetar dada aku hadap. Pegang tuala pun bergegar kain tuala!

Soalan aku, nama Konsert Marhaen tetapi kenapa Tangisan Marhaen tiada dalam setlist?

Cerita pasal rakam, ya kali ni aku bawak Sony PCM-A10 aku untuk simpan audio konsert buat kenangan. Sebab dah tahu takkan ada rakaman akan dibuat di Penang (macam dulu). Memang struggle gila nak rekod dalam keadaan hujan ni. Jadi aku terpaksa bergantung dengan apa saja benda yang ada di tangan untuk teruskan rakaman. Ini adalah Plan B sebenarnya jika video recording out (terbukti memang out terus!)


Final setlist adalah seperti di atas dan aku dah letak bootleg ni di YouTube untuk kenangan. Boleh klik di sini untuk dengar. Jangan lupa komen di YouTube tu. Lagi banyak komen, video tu takla tenggelam di YouTube. Terima kasih pada Deaf yang banyak bagi tips bootlegging dan Portdy yang tolong proofcheck listing lagu aku tulis untuk banner cover di atas.

Overall sound aku yang takda kelayakan sound engineering ni dan tak pernah belajar muzik ni, aku bagi 6.5/10. Semua ni pasal suara Awie ada part tenggelam dengan suara backing vox. Kalau settle problem ni aku bagi 7-8/10. Tapi aku tetap bersangka baik, sebab hujan dan sound engineer pun aku nampak struggle tutup equipment dengan plastik nak elak tempias. Aku dengar Awie sebut nama James sebagai sound engineer malam tu, tapi aku tak tahu siapa nama penuh. Siapa kenal bolehla komen bagi info.

Antara benda yang boleh ditambahbaik:
1. Merchandise booth - kurang barang? Aku nampak satu design saja baju dan aku tak berkenan design tu. Tak beli.
2. Booth Sayap-Sayap Wings kena standout untuk orang tahu.
3. Organiser kena mainkan lagu-lagu Wings secara loop di PA system sementara nak tunggu konsert start. Ni adalah untuk bagi mood audience naik dan tak coldstart bila konsert mula.
4. Ticketing kena improve. Normal zone dah bagi lanyard tetapi bila nak masuk masih nak kena tunjuk tiket. Dah macam masuk funfair pulak ni bang hujan-hujan minta tiket. Tiket dah simpan dalam beg. Organiser boleh ja asingkan audience guna wrist tag macam masuk waterpark tu. Senang camtu audience takyah kelam kabut nak cari tiket tunjuk.

Antara yang aku suka:
1. Tempat
Ya! Walaupun sini hulu sikit, parking senang dan RELA banyak membantu melicinkan trafik. Aku expect jem, tetapi tak. Memang puas hati dekat sini walaupun timbul bau Kampung Selamat selepas hujan. Hahahahha
2. Stage
Stage besar dan nampak sangat best. Cuma position Black sedikit terlindung. Mungkin sebab kurang lighting? Tapi stage memang best.
3. Sound. 
Sebenarnya aku rasa sound ok, cuma disebabkan hujan, masalah teknikal muncul. Ni yang aku cakap kat atas kalau takda masalah teknikal, overall konsert aku rasa aku bagi 7-8/10.

Setakat tu sajalah catatan sepanjang aku berada di konsert dan segala perasaan yang aku rasa nak tulis. Aku harap Wings datang Penang lagi tahun depan dengan sound yang lebih power dan cun!



Monday, May 8, 2017

À Tout le Monde @ Megadeth KL

 

Ini akan menjadi entry yang agak panjang. 

4 May 2017 aka May The 4th Be With You day merupakan hari yang tak akan aku lupa. Manakan tidak, lagenda thrash metal dunia, Megadeth pertama kali mengadakan persembahan setelah hampir 20 tahun diharamkan dari mengadakan persembahan di Malaysia atas tekanan politik pelbagai pihak. Tarikh yang tepat adalah sejak tahun 2001, mereka telah diharamkan dari membuat persembahan. Mati akal juga nak letak tajuk entry kali ni. Tapi tengok sendiri la gambar di atas, dua bapak budak macam dapat cokelat bila isteri masing-masing bagi ‘line’ ke KL, ok la kot tajuk tu. Hahahaha! 


Plan asal nak buat entry berasingan macam travel log, tapi tak jadi. Aku rasa baik aku masukkan semuanya dalam satu entry supaya anda semua terseksa baca satu-satu apa yang aku nak tulis. 

Perjalanan ke KL, aku ditemani Ikhwan (gambar atas). Nak dijadikan cerita, Ikhwan adalah jiran taman aku. Dia tinggal di Fasa 1 dan aku di Fasa 2. Sebenarnya aku tak tinggal lagi pun di taman perumahan tu. Pertemuan dengannya di majlis hari raya persatuan penduduk taman dan oleh kerana dia ada mutual friends dengan kawan-kawan aku di FB, dia menjadi rakan FB aku. Dari situ, dia mula tahu ada benda yang menghubungkan aku dengan dia; gambar, motosikal dan muzik. 

Cut the story, dalam perjalanan melalui PLUS, Ikhwan mencadangkan Mee Kari di R&R Ulu Bernam (arah selatan) dan sebenarnya aku tak pernah cuba langsung Zul Mee Kari ni. Bila rasa, Masya-Allah punyala sedap. Aku ambil Mee Kari Special berharga RM6.90 (boleh pilih daging atau ayam) dan rasanya memang power ya amat. Sesiapa yang singgah R&R ni bolehla try, memang padu. 

4 jam perjalanan tak terasa apabila kami asyik membincangkan pasal Megadeth. Yang membezakan, Ikhwan ambil seat UL5 dan aku UR5. Punyalah kalut Ikhwan ni sampai ambil tiket tak bagitau aku, sanggup duduk sorang-sorang. Aku sempat survey kawan-kawan yang ambil tiket PPRT Pit ni (hahahahha) dan banyak yang berada di UR5. Lagi satu, memandangkan aku masih baru dengan material Megadeth, membuatkan aku rasa cukupla sekadar tiket PPRT memandangkan satu lagu Megadeth tak melekat pun dalam kepala. 



Aku menginap di Hotel Midah. Biasanya aku tak cerita pasal hotel. Tapi memandangkan Hotel Midah belanja aku Premium Room, aku masuk jugak dalam entry kali ni. Sebenarnya aku ambil bilik yang paling murah, tapi bilik aku tu telah diberikan kepada semua anggota TLDM (Navy). Kalau tak silap mereka semua ada la dalam 3 bas punya ramai dan mereka menginap sebab ada perbarisan menghadap Agong yang baru, Sultan Muhammad V. 

Terima kasih Hotel Midah sebab bagi free upgrade walaupun tab mandi tak boleh tutup lubang dan soket plug satu tak boleh pakai. Hahaha takpa sikit ja janji bilik besar boleh terjun tiruk. 




Lepas post gambar sikit di FB, datang dah racun-racun dari bandar KL ni. Khairil dan Awyn (kenalan Vinyl Passion @ FB) dah mula tabur racun yang Tandang Records cuma dalam 200M meter saja belakang Hotel Midah. Sekali tauke Tandang pun masuk komen tabur racun tempek peta. Dalam keterpaksaan, aku pun berjalan kaki dan singgah ke Tandang Records. 

Ini pertama kali aku ke Tandang Records. Sebelum ni diaorang bertempat di Rumah Api, baru berpindah ke Jalan Kampung Attap ni. Nama je Kampung Attap tapi semua bumbung absestos. Silap-silap orang KL ni,  atap pun tak tahu benda apa. 

Wong (yang jaga kaunter) rupanya asal dari Bagan Dalam. Aiseh my friend jumpa orang kampung. Maka keluarlah loghat Penang dalam kedai. Last sekali, tauke Wan Hazril datang dan sempat la aku ambik gambar sikit-sikit buat kenangan. 

Tangan photobomb tu milik Aaron Gergasi, dia mati-mati tanya aku mintak Bob Pilgrims datang kedai sebab rindu dah 16 tahun tak jumpa. Lepas sembang-sembang apa sikit, aku pun balik hotel. Tandang tutup awal haritu sebab diaorang ada kerja di Rumah Api. 



 Ini kisah perjalanan aku ke Stadium Negara. Wan Hazril dan kawan-kawan KL lain cakap jalan kaki ja boleh. Tapi Bob Pilgrims (Magnus Caleb @ FB) call aku dan bagi tips macam mana nak naik LRT. Ya, alasan aku cukup kuat; kat Penang tak ada LRT, bagi la can kat aku naik LRT! 

This metalchick (baju nak oren) ask me whether Im going to Merdeka Stadium for Megadeth. I said no, it should be National Stadium. She look back her ticket and start panicking. She asked me whether I want to share a cab there. 

But macam I biasa, I berlagak cool. Asked her to take LRT instead and turun at Hang Tuah. 

Ahhh thank you Magnus Caleb for the tips. Awkward gila orang hulu Penang ajar awek Ampang kat mana nak naik LRT. Dah la tu terkebil-kebil aku nak bayar LRT ni pakai token! (Touch N Go tertinggal dalam kereta). KAHKAHKAH!




Setelah turun dari LRT stesen Hang Tuah (aku naik dari Maharaja Lela, tambang RM1.60) dengan Metalchick baju oren tu, dalam 300M dari stesen, masuklah aku ke laluan Stadium Negara. Gerai-gerai jualan merchandise (bootleg) dah macam cendawan. Ada yang elok dan ada juga yang buruk. Ada yang mahal dan ada juga yang murah. Tapi aku pegang nasihat Ijau, kalau nak beli,  beli lepas habis konsert sebab biasanya semua akan lelong untuk last kopek punya sale. 



Akhirnya aku sampai di kaki bukit menuju pintu masuk Stadium Negara. Kat sini aku terkebil-kebil dan timbul juga penyesalan datang seorang. 

Metalhead ramai dah berkumpul dan semua ambil kesempatan ni macam friends reunion. Ada yang melepak isap rokok dan ada yang melepak makan-makan. 

Dari visual, kebanyakan yang datang adalah Gen-X. Banyak yang dah beruban tapi ranggi dengan baju tengkorak. Jumpa juga muka-muka familiar yang aku kenal kemas dan segak tapi hari ni adalah hari ‘A Tout Le Monde’, mestila pakai baju tengkorak warna hitam! Hahahha!! 


Aku dicuit dari belakang dan akhirnya saat yang ditunggu telah tiba, Ijau yang telah aku kenal melalui blog akhirnya muncul di depan mata buat pertama kali. Daripada bersembang pasal gitar, meleret kepada nasi kandar. Itu adalah versi aku dan Ijau di dalam blog. 

Versi realiti haritu dimulakan dengan tanya khabar masing-masing dan kesihatan family (anak-anak dan isteri Ijau baru baik demam campak sebelum dia datang KL) kemudian disusuli dengan cerita Metallica di KL (menyesal tak pergi tengok) dan Ijau siap cakap apa outfit yang dia pakai haritu 90% outfit waktu tengok Metallica. 

Ada juga tanya apa cerita Jairo dan Takilala sikit dan geng-geng Borneo yang lain, tapi nampaknya kali ni Ijau seorang yang datang. Tabik! 

Kami bertiga (dengan Ikhwan) menunggu Berteromber  datang sebelum kami masuk ke pintu utama stadium. 



Akhirnya hampir-hampir Maghrib, Berteromber hadir ke venue dengan rakannya (lupa nama). Tunggu D’arsil tapi dia inform dia lambat lagi, jadi kami bercadang untuk masuk dulu nak tengok official merchandise. Kemeriahan pasti lebih terasa jika Doc Ibrisam,  Portdy dan Saudagar Mimpi ada sekali. 




Pemeriksaan keselamatan mengejutkan ramai perokok apabila rokok tidak dibenarkan dibawa masuk. Samada tinggalkan di pos keselamatan atau balik simpan di kereta. Banyak jugakla rokok bertimbun atas meja tu. Untungla masa balik yang tinggal rokok sikit, masa balik gagau kotak rokok banyak. 

Ijau paling sempoi, dalam yang lain-lain kantoi botol air, dia dengan Ribena terlepas masuk. Sebelum tu dia dah tunjuk poket Doraemon dia tu. Aku pulak nasib baik vape lepas bawa masuk, kalau tak pishanglaaaaa nak tinggal vape. Mana ada kereta kat tempat parking nak simpan! 



Merchandise booth sangat menyedihkan. Dah la kecik, aku rasa booth jual karipap lagi lawa hias kat pesta makanan. Gila apa booth merchandise Megadeth nampak bodoh kosong macam ni. 

T-shirt sold out sejak sale mula dibuat pukul 4.30. Rasa macam nak terbalikkan meja pun ada. Dapat info cuma 50 set tour tshirt dibawa masuk, lebihan dari show di Singapura. Yang tinggal cuma Bandana RM70, snapback cap RM120 dan sweater RM250. Ijau siap tanya Seventen or Seventy dua tiga kali dalam entry Dystopia di Kuala Lumpur. Ye la gila apa bandana kecik RM70. Tshirt sold out tu khabarnya RM150. Tapi aku tak beli apa pun sebab aku declare official merchandise punya design buruk nak mampus. Bootleg kat gerai luar stadium buat lagi lawa.




Lebih kurang pukul 8, aku, Ijau, Berteromber dan kawan Bert masuk ke UR5. Akhirnya dapat juga tengok sekali seperti yang dirancang. Kenal melalui blog, bloggger dari Penang, Johor dan Sarawak berjaya buat meet up dalam konsert ulung Megadeth Live In Malaysia. 

Kami duduk di UR5 dan kami menggelarnya sejak konsert Metallica ia adalah tiket seat PPRT memandangkan ia adalah tiket termurah untuk sesebuah konsert berskala besar. 

Aku pulak tak begitu ralat sebab kalau aku ambil Deth Pitt tapi tak boleh sing along pun tak guna jugak. 


Tepat pukul 8 malam, opening band malam tu Massacre Conspiracy atau MC16 memulakan persembahan. Aku memang blur habis sebab tak tahu ni band apa. Siap terus post kat FB tanya sapa opening band ni, dari situ dapat jawapan. 

Patutla Bert kata awal-awal nak skip band ni sebab tak kenal. Waktu ni, Deth Pitt dan Rock Zone pun nampak kosong nampaknya semua berfikiran sama macam Bert; skip opening band. 

Genre apa yang dimain tu mula-mula aku tak dapat tangkap. Sebab ada keyboardist tapi boleh tahan la MC16 ni. Tak pasal-pasal nak kena study pasal band ni sebab dah tengok. 

Tak kisah la siapa pun mereka, aku toleh kepada Ijau dan cakap “Depa ni kalau orang perlekeh, depa boleh cakap – aku main opening untuk Megadeth, hang pernah?” 

Lepas tu kami gelak ramai-ramai. 


Pukul 9 malam. Deth Pitt dan Rock Zone dah penuh dan lagu latar dimainkan. Sorakan “Megadeth! Megadeth! Megadeth!” bergema di dalam stadium. 


Dewan bergema dengan sorakan apabila kelibat De Facto Megadeth, Dave Mustaine muncul di pentas. Tiada intro meleret-leret tetapi Megadeth terus balun Hangar 18, Wake Up Dead, In My Darkest Hour dan The Threat Is Real sebelum Dave Mustaine membebel sebab dah lama tak boleh masuk Malaysia agaknya. 


Kredit gambar pada pemilik asal

Sebenarnya kami dah dapat spoiler dari Portdy setlist untuk malam tu dalam group whatsapp. Sama seperti di Singapura, tiada tambahan atau perubahan. Aku jangkakan Megadeth akan memberikan extra lagu atau lagu yang berbeza.


Tiada gambar-gambar menarik sebab kedudukan aku yang agak jauh tapi masih boleh diterima. Dalam kesemua ahli Megadeth, Kiko Loureiro paling menyerlah dengan showmanship. Dia nampak begitu enjoy di atas pentas dan boleh dikatakan dia main sebijik-sebijik macam dalam album. Sampaikan bunyi ‘nyet nyet’ di hujung note pun sama. Ijau nampak seronok di situ apabila dapat menangkap persamaan bunyi di dalam album. 

Mustaine pula kadang-kadang suaranya menjadi kurang jelas. Tak pasti samada dia kurang sihat ataupun soundman punya problem. David Ellefson ok dan drummer Megadeth yang baru menggantikan Chris Adler (terlibat dengan album Dystopia), Dick Verbeuren (dari Soilwork). Drummer tu memandangkan aku kurang nampak, mula-mula ingatkan perempuan. Rambut ikal mayang straight halus berterbangan tiap kali ketuk drum. Hahahhaha tapi agak padu dia ketuk. 

Aku perasan Mustaine perkenalkan Ellefson dan Loureiro tapi tidak pada Verbeuren. Kalau aku yang tersilap atau tak dengar, mohon betulkan. 

Persembahan Megadeth membuatkan aku agak terlopong. Mustaine yang berumur 55 tahun masih power di atas pentas. Persembahan kesemua mereka sangat energetik tanpa perlu berlari ke sana ke sini di atas pentas. Kiko Loureiro mempunyai stage persona yang sangat power; goreng, main dengan gigi, main silang belakang, you name it. 

Paling best dalam semua adalah apabila berlaku solo duel di atas pentas dan headbanging berjemaah; perkara yang jarang-jarang berlaku dalam dunia muzik mainstream. Malah Metallica juga tak ada benda ni! 

Setelah menyaksikan sendiri persembahan mereka, Megadeth terus masuk dalam list aku untuk diberi perhatian serius.

“Cantik baju ni tapi ada tengkorak pulak kat belakang, spoil betullah takleh bawak gi masjid!” – Berteromber



Usai persembahan, kami bergerak menuju keluar dan sempat la buat shopping sikit. Betul kata Ijau, last sekali aku dapat baju yang asalnya dijual RM35 menjadi RM30. Kutu-kutu lain siap dapat poster event dan aku melepas. Ada juga kutu siap balaih tanda harga tiket di pintu masuk semata-mata untuk dijadikan kenangan. Aku melepas dapat poster tapi beli jugak di stall luar dengan harga RM5. Cukuplah untuk buat kenangan. 


Aku ingat aku sorang je kantoi macam mana nak bayar LRT ni, Bert dengan kawan dia pun 2×5! Kahkahkah!

Kami berempat mati akal ketika di tangga stesen monorail Hang Tuah. Ijau cakap dia akan menapak saja balik hotel. Bert dan kawan akan menuju ke TBS dan aku paling malas akan menuju ke Maharajalela. 

Padahal boleh je kalau nak singgah makan-makan kejap sebab memang semua lapar tak makan lagi pun! 



Ijau melangkah pergi dengan salam, dan aku berpisah dengan Bert/Rakan di persimpangan stesen. Sempat juga la menyaksikan aksi kantoi orang jarang naik LRT. Sesungguhnya kami jarang sangat naik LRT, kasi can la…. Hahaha. 



Apa pun, inilah sekadar coretan dari aku yang menyaksikan sendiri Megadeth di depan mata walaupun sekadar tiket PPRT. 

Megadeth akan diberikan perhatian serius di dalam pengumpulan material seterusnya kerana selama ni aku rasa aku cuma dikaburi dengan Metallica. 

Semoga dalam masa terdekat nanti akan ada harapan kemasukan Iron Maiden di Malaysia dan ketika itu, harapnya semua blogger atau pembaca dapat berkumpul sekali lagi di venue. 

Baju Raya 2024

HOMBRE ni kalau tak silap aku first sekali ditubuhkan pada 2018. Waktu ni aku amat memerlukan pakaian pejabat. Tapi malangnya sa...