Tuesday, June 21, 2022

Akaso Brave 7 LE: Unboxing


Akhirnya aku terbeli jugak Akaso Brave 7 LE (aku beli kat sini) ni. Semua ni disebabkan action camera aku yang lama, Yi Action Camera dah tak boleh tekan shutter camera tu. Aku ada juga teringin nak lompat ke kem GoPro, tapi memikirkan harganya yang aku tak boleh nak buat pengiraan ROI (return of investment), aku fikir aku cuma boleh sambar setakat mana yang aku berani beli sajalah.


Akaso Brave 7 LE ni bukanlah baru sangat. Dah hampir 2 tahun dalam pasaran. Ketika aku beli ni, model Brave 8 baru saja keluar. Tapi harganya dah melebihi seribu ringgit. Membaca review luar negara dan mengabaikan semua content creator yang dapat set percuma untuk review, aku rasa macam tak berbaloi untuk beli action cam atas seribu ringgit sedangkan nak pakai dalam waktu-waktu tertentu saja dan aku bukan nak buat duit pun dengan beli action cam mahal-mahal.


Dengan harga RM555.00 ni, aku berada di tengah-tengah la kot, memandangkan Yi Action Camera dulu aku beli dalam julat harga paling sama dengan yang ni. Bezanya, Akaso Brave 7 LE ni datang dengan aksesori yang penuh seperti gambar di atas termasuk dengan waterproof case. Untuk action camera dengan rating IPX7, pemberian waterproof case adalah satu bonus la kot.


Yang pasti, camera ni berat lagi berbanding Yi Cam aku dulu. Reviewer banyak puji bentuk camera ni tapi aku rasa macam mainan pun ada. Casing cover battery dan slot usb terasa agak 'fragile' dan bila-bila masa boleh patah/loose. Kamera ni didatangkan dengan dual screen, jadi nak selfie vlog senang on the move untuk pastikan framing tak lari. Terseksa bila fikirkan dulu aku ambik video dengan Yi Cam tanpa dapat agak muka aku dalam viewfinder atau tak.


Skrin juga didatangkan dengan touch screen. Aku tak tahu nak komen macam mana bab ni. Tunggu dan lihat masa pakai nanti ajalah kot.


Slot USB ni aku paling bengang sebenarnya. Akaso Brave 7 LE ni asalnya didatangkan tanpa support external camera. Lepas firmware update, katanya dah boleh guna.

Tapi yang slack tu, dia gunakan port paling bermasalah dalam sejarah barang elektronik; micro usb. Apa susah sangat ka nak standard kan penggunakan usb type-c dalam kamera ni? Lepastu pulak kedekut nak belanja audio jack untuk tujuan external camera. Jadi aku tak boleh nak komen penggunaan external camera ni. Mungkin aku akan beli (dahla kena guna mikrofon Akaso jugak!) walaupun dah ready siap-siap untuk kecewa dengan kualiti bunyi.


Manual dia bagi ni sangat kedekut. Takda print lebih-lebih. Setakat Quick Start lepas tu bagi QR Code untuk download PDF manual. Selaku pembeli yang selalu baca manual, aku rasa sedikit terhina dengan apa yang Akaso lakukan. Ni semua akibat reviewer kat YouTube yang asyik tunjuk lempar manual taknak baca tu la ni! Sedangkan manual tu penting gila terutama bila jumpa problem nak setting apa-apa.

Ok setakat tu sajalah pandang pertama aku. Tak try habis lagi pun. Harap-harap berbaloi la nak pakai.

Sunday, June 19, 2022

Haji Saad Technician

Gambar 6/12/2019

 Aku mengenali Haji Saad, seorang pesara Tabung Haji melalui Mail aka Pak Mat Tempe Typing (FB) ketika mencari seorang jurubaikpulih amp aku yang rosak; Sansui AU-517. Aku dah lupa, mungkin sebelum PKP pada tahun 2019, aku tak ingat. Tapi keramahan Haji Saad membuatkan aku terasa macam dah lama sangat kenal dengan dia. Orang kampung panggil dia Haji Saad Repair TV, tapi aku kenal dia sebagai technician amplifier dan turntable yang power. Selagi boleh kacuk dan kahwin, dia on saja.


Sanken Transistor dalam Sansui AU-517

Aku ada plan nak buat video dekat channel Mamu Vinyl dulu pastu content macam pendek sangat, terus aku KIV saja video tu. Amplifier Sansui AU-517 tu aku ada tanya juga 2-3 orang tapi leceh betul sebab kebanyakan berada di Lembah Kelang. Tak berbaloi aku nak pi hantar sana melainkan aku ada kerja sana dan singgah. Antara isu kritikal utama Sansui AU-517 ni adalah ia menggunakan Sanken Transistor, transistor 2 kaki yang dh memang OOP (out of production). Tiada cara lain dengan menggantikannya dari salvaged amplifier yang lain. Aku jangan kata la, berdoa selalu suoaya janganlah bendalah ni yang rosak sebab memang susah gila la kalau benda ni rosak, mana nak cari parts! Sanken transistor ni sekarang digantikan dengan transistor 3 kaki sepertimana yang selalu kita jumpa sekarang la.

 Tak ramai dah technician macam Haji Saad yang boleh repair amp. Boleh maksud kat sini adalah seorang yang ada passion pada muzik, jadi dia tau apabenda yang kita nak dan senang nak communicate bagitau problem apa yang kita jumpa.


Gambar hari ni 19/6/2022 pi ziarah Haji Saad

 Hari ni, 19/6/2022 aku memutuskan untuk ziarah Haji setelah mendapat berita dia tak sihat. terkejut juga aku sebab aku jumpa dia lebih kurang seminggu sebelum puasa yang lepas. Sebelum tu pun dia dah tak sihat, masuk hopsital sebab angin dalam badan. Tapi nampak ok dah. Cuma kali ni nampak agak serius, susut banyak juga badannya. Serba salah juga ziarah tak bawak buah tangan, tapi katanya dia pantang makan, makan moi (bubur nasi) saja sekarang ni sebab angin dalam badan dia memang tak berapa elok, takut sakit semula.


"Semua ni hang ambik, Abba ja aku nak" - Haji Saad

Aku nak balik tu, sempat pulak dia bagi buah tangan. Terbalik pulak, patut aku yang bawak bagi, ni dia pulak yang bagi. Besar jasa Haji Saad kepada barang-barang turntable dan amplifier aku. Aku doakan dia sihat-sihat saja

No Good - Demo Kawe (2019)

 Sebenarnya aku pun taktau nak mula mukadimah macam mana nak review bendalah ni. Penemuan aku dengan No Good ni adalah secara tak sengaja ketika nak recap rilisan pada tahun 2020 di Youtube Mamu Vinyl. Cari-cari di Discogs tiba-tiba terjumpa rilisan ni. Memang pening gila bila tengok ada alternate cover ala black metal kat situ (sampai harini aku tak pernah nampak siapa-siapa tayang hard copy cover tu). Start dari tu, aku mula tercari-cari ni band mana!


 Dalam tercari-cari tu baru aku tau yang EP 7" depa ni sebenarnya dah sold out dalam masa yang sangat singkat dan band members ni ada terlibat dahulu dengan Dirgahayu dan Killer Calculateur (sumber dari Big Duck Music). Tapi tu pun rasa tak puas hati sebab Killer Calculateur dan Drghy pun aku tak sempat nak study sikit depa dah berpecah la, in hiatus la.



 Sekarang tahun 2022 barulah aku berjaya dapatkan EP ni dalam bentuk fizikal. 1st, CD press yang aku beli dan kemudian, kaset ni yang aku dapat secara second hand dari Gedebe Records (dengan harga masuk akal, RM60 untuk kaset 1st Press). Ya, dekat Carrousel kebanyakan dah flip harga atas RM100.00 untuk kaset dan EP 7" dan ada yang sampai dekat RM200.00. Rasa ralat juga tak dapat beli EP tu sebenarnya.



 EP Demo Kawe ni terdiri dari 7 lagu pendek-pendek dan dalam genre punk. Jangan tanya aku la garage punk ka, punk rock ka sebab aku taktau. Yang pasti lagu EP ni semua catchy habis dan di dalam dialek Kelantan. Sek Kito Jange Pecoh (#SKJP) contohnya sangat simple tapi bermakna. Tengok tajuk pun dah tau kalau ada kawan-kawan Kelantan, ayat ni dah jadi macam tagline geng Kelantan sebenarnya. Yak Boktey juga selalu menjadi highlight dalam video-video gig No Good manakala Punk is D(e)ad kedengaran agak metal. Che Using merupakan lagu terpanjang dalam EP Demo Kawe ni dan ada Music Video (aku ada selit kat bawah) dan cara video ni dibuat boleh mengimbau kenangan filem lama seperti Starsky & Hutch. 




 Nak komen panjang lebar pun aku tak tau nak buat macam mana ni sebab band members pun aku tak berapa kenal. Aku rasa memang style generasi band sekarang ni semua macam tu kot, yang penting orang kenal muzik, orangnya tak kenal pun takpa.

 Aku harap No Good akan terus berkarya sebab aku rasa band ni memang boleh pergi jauh. Dan harapnya aku dapatlah beli EP 7" Demo Kawe ni nanti. Lupa pulak mention yang material depa ni laku keras macam Killer Calculateur dulu, cuma tak pastilah samada yang berebut beli sampai habis tu nak dengar atau nak flip harga?

Rating aku untuk EP ni? 5 bijik bendi! 

Wednesday, June 15, 2022

Kasta


Seingat aku sejak era 1990-an walaupun ketika itu masih budak, kelihatan seperti hiburan ni nampak sama saja. Sementelahan ketika itu, medium hiburan di rumah cuma ada TV dan Radio. Ya, zaman tiada telefon bimbit melainkan seseorang itu usahawan kaya yang mengusung telefon ATUR (Automatic Telephone Using Radio - kau baru tahu maksud dia harini kan?) sebesar batu bata dan kau pula mengusung bekal air berbentuk telefon ATUR tu ke sekolah!

Hiburan yang nampak hidup sedikit ketika itu adalah apabila mengunjungi tapak ekspo atau lebih popular dipanggil Fun Fair. Siapa tak ingat, ketika ni, band yang paling happening di Fun Fair adalah XPDC sehingga dinobatkan sebagai Raja Fun Fair. Ketika ni, XPDC tak kisah dilekehkan kerana bermain di fun fair sebab nampak tak ada standard. Ok ni lah topiknya; Kasta.

Kembali ke zaman sekarang, tahun 2022 ketika nampak suasana konsert Rock semakin malap dan kurang crowd, seiring dengan kutu-kutu rock yang telah berusia dan mengubah cara hidup ke arah yang lebih baik dari segi agamawi atau ke arah kekeluargaan, kutu-kutu rock/metal (aku tak larat nak tulis semua genre) juga berpecah secara tak rasminya kepada dua iaitu geng yang poket tebal dan biasa-biasa (nak tulis sengkek satgi orang marah, ahhh dah tertulis). Susana ini jelas sekali dapat dilihat ketika konsert Kumpulan Search (yang terbahagi 2) iaitu Search (Amy/Nasir/Hillary/Man Kidal) dan Search (Denden/Din/Kid/Minn + Firdaus keyboard)


Konsert pertama dari Team Amy berlangsung di Zepp KL pada 4 dan 5 Jun 2022 dengan tiket bermula RM250.00. Rata-rata media menekankan ia akan berlangsung di venue antarabangsa dan maaf aku lupa siapa drummer untuk konsert ni sebab macam takda highlight pun. Sessionist ke drummer untuk konsert ni? Kalau tahu tolong info kat komen.


Manakala konsert kedua adalah dari team Kiddin seminggu selepas itu pada 11 Jun 2022 dengan tiket bermula dari harga RM88.00. Line-up ini adalah dari vokalis yang disunting Din Mayat dari Bandung, Denden Gonjales, Din Mayat, Kid, Yantoi dan Minn selaku drumner (Firdaus juga sebagai keyboardist). Lokasinya adalah di ruang parking tingkat atas Campbell Shopping Complex, KL. Konsert ini diberikan nama Rockin' On Rooftop. 


Gambar cilok dari Sidang Kopi

Aku rasa kalau aku tak tulis pun semua orang boleh nampak kat atas tu yang mana satu konsert untuk orang kebanyakan dan mana satu untuk geng-geng kaya. Dan dalam keadaan tepung naik harga sampai roti canai naik 20 sen, nasi lemak dari RM1.20 jadi RM1.50 dan ayam beli kat kedai Aceh pun kena bayar upah potong (ni gila betoi), agak-agak geng-geng tak berapa berkepuk poket akan pilih yang mana satu? Dan yang menjadi bonusnya adalah apabila konsert untuk marhaen boleh dikatakan hampir perfect di mana kalau yang nampak komen tak puas hati pun pasal Denden ni rambut pendek, Denden pakai jaket, Denden pakai smart sangat untuk konsert rock atau Denden ni tak reti communicate dengan crowd.

Itu baru kasta muzik dalam dunia mainstream, yang sebelah underground ni ada kasta tak? 


Aku terlepas nak order poster ni dekat concert goer. Mana boleh dapat lagi?

Tuesday, June 14, 2022

Minat Atau Hoarding?

Discogs hari ini di laman Instagram mereka menyatakan terdapat 600 juta koleksi diarkibkan di dalam database mereka dengan 100 juta koleksi ditambah dalam masa setahun.

Ok, pertama sekali bukan semua orang familiar dengan Discogs dan kedua, jika ada yang familiar sekalipun, kemungkinan data yang ada kurang tepat. Pendapat aku, kurang tepat dari jumlah koleksi sebenar. Kes ni macam kita rekodkan ada 50 barang termasuk kaset, CD, LP dan lain-lain tapi sebenarnya di simpanan ada lebih dari 50 tu. Tu belum masuk beli CD yang sama sampai 2-3 kali tapi rekod di Discogs, sekali saja. Pada anggaran aku, sebenarnya memang lebih banyak dari jumlah yang direkodkan oleh Discogs.

Bersembang bab mengumpul ni, mungkin bila dah banyak sangat, kita akan digelar collector atau pengumpul dalam bahasa Melayu, tapi sebut collector ni nampak la orang pekan sikit kan (hahahaha). Tapi macam aku, walaupun tak banyak barang, aku dah rasa macam aku ni dah masuk level hoarder. 

Hoard = menimbun. Beli kemudian penuhkan almari/ruang rumah tanpa tujuan.

"Eh aku ni bukan collector, aku beli apa yang aku nak dengar". - soalan aku, berapa kali dengar setahun? Kalau ada 365 keping CD, perlukan masa setahun jika tukar CD setiap hari untuk dengar kesemua 365 cd tu. Jadi kalau collection atas dari 1000 keping? Sah-sah kita cuma akan 'pick and play' saja benda apa yang terlintas di fikiran. Di sini mungkin ada suatu garisan halus antara Hoarder dan Collector; boleh jatuh ke mana-mana bidang atas sikap tuan punya koleksi tu sendiri.

Macam aku, membeli dan biasanya aku akan rajin update katalog sendiri. Sampai satu tahap aku jerit pada diri sendiri dalam kepala (bermonolog, betul ka terma ni?) "Mus, cukup! Takyah beli dah. Bukan hang nak dengaq semua!". Bila tengok balik arkib katalog sendiri ni, kadang-kadang timbul juga sedikit penyesalan; kalau duit tu semua kumpul buat pergi haji lagi bagus.

Itulah aku, yang aku rasa bukan dalam kategori collector, tapi macam dah masuk kategori hoarder. (Punya kari aku sembang kan?)

Hangpa macam mana? 

Monday, June 13, 2022

Dunia Collector Dunia Tipu Tipu?



Bismillahhirahmanirrahim.
 
Aku mulakan pembuka kata ni selepas 2 blog utama aku padam.

1. Speedrider Networks (wordpress) - Aku take down selepas 13 tahun di server peribadi dan aku rasa tiada asbab lain untuk teruskan dengan kos nak perbaharui domain dan webhosting yang meningkat dari tahun ke tahun.

2. Speedrider Networks (blogspot) - Semalam 12 Jun 2022 masa nak ubah setting, entah macam mana terus blog kena lock. Maka habis semua entry backup aku selama ni tanpa sedikit pun yang sempat aku save.

Ok cukup pembuka kata ringkas.

Sekarang tahun 2022, Jun. Maksudnya dah setengah tahun berlalu sebelum masuk tahun 2023. Zaman ini baru berlalu fasa pandemik Covid-19 dan telah memasuki fasa endemik. Orang Malaysia baru meraikan pada 1 April 2022 dengan 2 perkara besar:
1. Tak perlu scan My Sejahtera.
2. Tak perlu pakai face mask di tempat terbuka.

Seperti mana terujanya orang ramai dengan 2 perkara di atas termasuk la majikan-majikan yang kelam kabut suruh masuk ke pejabat walaupun terbukti 2 tahun boleh ja bekerja di rumah dengan produktiviti yang baik (aku tuju pada si bos kompeni kereta kat US sana tu, Tesla namanya, kau terasa apahal?), begitu jugalah dengan dunia di Facebook. 2 tahun dengan post resepi la, masak la dan macam-macam lagi, akhirnya manusia bebas post pelbagai benda di Facebook. Ye lah, dah 2 tahun tak bergaduh di Facebook sebab takda modal nak post apa. Setakat aku menulis ni, kemuncak boleh bergaduh di Facebook adalah usai Konsert Search Rockin' On Rooftop di Campbell Shopping Complex di antara fans yang berpihak kepada team Kiddin dan kepada team Amy dan Nasir. Semua boleh menjadi terpaling fans Search untuk minggu ni. Samada terpaling konsert mewah dan terpaling konsert atas bumbung.

Terselit dengan mukadimah di atas, aku perasan banyak post di Facebook dari geng-geng collector yang pasrah semacam apabila material dah menyusut dan menipis dalam simpanan. Maksudnya dah takda benda sangat nak tayang dekat Facebook. Benda ni takda hal sangat, cuma di sebalik itu adalah 'kawan-kawan' yang menghilang di kala segala kemaskini hidup itu berlaku.

Ya, itulah hakikatnya. Apabila ditayang-tayang, memang banyak sekali 'kawan' datang menjengah komen, like dan sebagainya. Namun itu semua akan tinggal kenangan saja. Aku turut menghadkan segala jenis bentuk posting material dan menggantikannya dengan post merapu dan kadang-kadang mencapai tahap istilah 'shitposting'. Dari sini, dapat dilihat jumlah friend menyusut. Bukan setakat menyusut dari 'engagement' di posting tersebut, malahan turut menyusut di jumlah jaringan kawan-kawan Facebook. Maksudnya, network circle dah semakin mengurang. Kawan-kawan yang menghilang pun dah dapat diduga, apabila lihat kita tiada kepentingan, maka kita bukanlah kawan mereka. Tapi mereka lupa kalau mereka buat buku dan nak jual, yang beli tu siapa? Kita la! Maka, kurangla seorang pembeli kau nanti. Selamat duit aku.

Tahun 2022 juga aku perasan industri piring hitam sudah seakan tepu. Tiada material baru melainkan reissue atas reissue. Kalau bukan reissue, dia buat 20th Anniversary press. Silap haribulan, tiap-tiap tahun dia buat anniversary press untuk Record Store Day. Jadi, aku adalah antara manusia yang mula menghadkan pembelian piring hitam dan cuma beli material yang aku rasa nak beli dan dengar saja. Kekuatan untuk jual, tengah mencari lagi sebab rasanya aku dah masuk level hoarder. Beli pandai, nak jual tak reti.

Jadi, ni pendapat aku sajalah ya. Kalau rasa beli material lepastu rasa nak jadi king, lupakanlah. Kita mati nanti silap haribulan semua material kita ni dijual longgok saja melainkan waris kita pun minat benda yang kita minat.

Ni pendapat aku, tak suka aku terima saja. Pembuka tirai blog baru, kita sembang kari saja malam ni!

Sunday, June 12, 2022

Facebook Makin Merapu?

Setelah 12 tahun meninggalkan Blogspot, aku cuba menulis sikit malam ni.

Aku dapat merasakan aku dah up kebanyakan post di Facebook dah tahap junk post atau kata lebih urban, shitposting. Entah apa-apa semua aku sumbat masuk dalam tu. Dan akhirnya post-post itu akan berlalu, kemudian setiap tahun Facebook akan mengimbau memori post tersebut ala-ala sambutan ulang tahun.

Life menghampiri usia 40 tahun ini dirasakan berlalu begitu cepat, ditambah dengan 2 tahun tempoh pandemik Covid-19 membuatkan shitposting makin menjadi-jadi di Facebook. Bukan aku seorang, ramai juga yang buat begitu teemasuk yang up posting berkaitan kucing.

Dengan keadaan itu, aku dapat mengesan beberapa 'kawan' Facebook sudah mula menjauhkan diri termasuk unfriend disebabkan mungkin timeline posting aku yang nampak tidak sekufu, takda material duniawi untuk dimegahkan dan senang cerita, bukanlah seorang figura yang untung dapat berkawan di Facebook.

Ah, setakat itu sajalah aku meraban malam ni. Kalau untung sabut timbul, nanti rajin la aku buat posting baru.

Konda Kondi Cafe & Bistro

Plan harini nak singgah ke Laksa Pondok Ibu Kathy . Tempat nampak macam menarik tepi sungai, tetapi menu kat sini sesuai untuk m...